Ikan Temoleh dan Ikan Patin Pahang

Posted Under '' | Written by 'Webmaster' | Komen Anda

Assalamualaikum,

Seronok dapat kongsi pelbagai cerita dengan pembaca. Hari ini nak cerita tentang ikan. Saya bukan kaki pancing, atau mat joran, tapi tertarik pada satu ikan ni. Ada yang panggil Ikan Temoleh ada juga yang panggil Ikan Tamalian. Mari kita tengok gambar ikan ni.

Ikan Temoleh juga dipanggil sebagai Ikan Tamalian bagi sesetengah orang.

Apa pun nama ikan ini, taklah sangat penting kerana apa yang lebih penting tentang ikan ini adalah rasanya yang sedap berbanding ikan sungai yang lain (ni ikut citarasa penulis). Harga ikan ini mencecah RM35 - RM45 sekilo. Mahal memang mahal tetapi rasanya yang membuatkan anda tak kecewa. Susah juga nak jumpa di pasar. Kalau jumpa tu, belilah.

  

Lagi gambar Ikan Temoleh a.k.a Ikan Tamalian

Menurut cerita, ikan ini sangat di sukai oleh Sultan Pahang. Masakan yang terbaik untuk ikan ini ialah gulai. Selain Ikan Temoleh ini, Ikan yang terbaik yang paling digemari, ialah Ikan Patin. Bukan sebarang Patin, Patin datang dari Temerloh, Pahang (Temerloh juga dikenali sebagai Bandar Ikan Patin).

Ikan Patin atau nama saintifiknya Pangasius Sutchi adalah spesis ikan air tawar jenis meserba yang mendiami kawasan-kawasan sungai dan lombong-lombong. Bentuk fizikal utamanya adalah mempunyai dua sengat di kiri kanan dan satu di belakang badan, tidak bersisik dan lembut. Saiznya boleh mencecah 1 meter panjang dan beratnya boleh menjangkau 20kg. Makanan utama spesis ini adalah anak-anak ikan, buah-buahan sungai, udang dan bangkai binatang.

  

Ikan Patin

Ikan ini pernah mencetuskan kontroversi di Malaysia kerana harganya yang boleh mencecah RM180.00 sekilogram terutamanya di sekitar negeri Pahang yang mana telah dikenalpasti sebagai kawasan yang mempunyai sungai yang berupaya mewujudkan ikan patin terbaik dan sedap dimakan. Masakan yang menjadi identiti bagi ikan ini adalah gulai tempoyak. Ikan patin mempunyai nilai komersial yang tinggi dan diternak di kolam-kolam dan di sangkar-sangkar. Terdapat beberapa jenis ikan patin yang biasa dikenali sebagai:

1. Patin Sangkar / Kolam

( Ikan Patin yang diternak oleh penternak untuk tujuan komersial)

2. Patin Sungai

( Ikan Patin Liar yang terdapat di Sungai Pahang. Antara jenis-jenisnya ialah Patin Buah, Patin Mucung dan Patin Juara).

  

Gulai Tempoyak Ikan Patin (Kegemaran Penulis)

Untuk rasa, sudah tentu Patin Sungai kerana makanan yang dicari sendiri berbanding Patin Sangkar makanan yang di beri oleh penternak. Apa yang sedap tentang ikan patin ni, selain isinya, lemak yang terdapat pada isi tersebut. Sedap walaupun boleh mendatangkan penyakit jika diambil berlebihan. Untuk yang ingin memberli Patin Sangkar atau pun Patin Sungai, bolehlah ke Temerloh. Bagi mendapatkan rasa yang enak dan bau yang kurang hanyir, carilah yang bersaiz sederhana. InsyaAllah, kalau ada masa akan datang, penulis akan berkongsi Resepi Masakan Ikan Patin ni. "huhhhhh, memang terbaik".